Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lawat Baitul Barokah

SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini melawat Kompleks Pertubuhan Kebajikan Baitul Barokah Wal Mahabbah (PKBBWM) di Jalan Burhan, Kampung Giching Hilir, di sini. Ketibaan Najib yang berbaju kemeja putih, disambut Pengetua PKBBWM, Norlida Rasidi. Najib mengambil masa kira-kira 45 minit melawat kompleks PKBBWM, termasuk pejabat, bakeri, bilik jahit, surau, perpustakaan dan bilik darjah, selain beramah mesra dengan penghuni, guru dan sukarelawan KPBNWM. Pada lawatan itu, Najib mengumumkan Yayasan Pencinta akan menyumbang RM150,000 kepada KPBNWM untuk menaik taraf blok sekolah dan asrama. Bersempena lawatan Perdana Menteri hari ini, sukarelawan IM4U juga mengadakan gotong-royong membersihkan dan mencantikkan asrama serta pekarangan PKBBWM. Yayasan Pencinta turut menyumbang baju raya dan duit raya kepada penghuni PKBBWM. Sementara itu, Najib memuji usaha PKBBWM yang menyediakan kelas vokasional melalui khidmat sukarelawan, yang secara tidak langsung membantu penghuninya menguasai ilmu vokasional dan mempertingkatkan pencapaian akademik. “Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada sukarelawan kerana memberi banyak sumbangan kepada kanak-kanak di sini. Usaha- ini akan menjamin masa depan yang lebih baik untuk kanak-kanak di sini,” katanya. Baitul Barokah Wal Mahabbah, yang bermaksud “Rumah Yang Berkat dan Berkasih Sayang” adalah pusat pengajian berkonsepkan kebajikan dan menaungi 73 anak yatim, asnaf zakat serta fakir miskin. – BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/166922

Add a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *